Sunday, August 16, 2009

Antara Politik Melayu dan Politik UMNO















Kelmarin dulu saya menghadiri Konvensyen Seminar Memperkasa Politik dan Ekonomi Malaysia. Majlis tersebut diadakan di Hotel EDC berhampiran dengan kampus Universiti Utara Malaysia anjuran Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (Mubarak) dengan kerjasama Association of International Studies (AIS). Ramai tokoh-tokoh akademik dan politik hadir pada majlis itu. Selain dari pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar dari institusi berdekatan,majlis itu juga dihadiri oleh seorang tokoh seniman negara.



KUASA POLITIK MELAYU TERHAKIS?


Pada awalnya saya beranggapan bahawa majlis itu akan membicarakan soal politik dan ekonomi Malaysia dalam pelbagai sudut dan secara ilmiah tetapi jangkaan saya meleset sama sekali. Saya berasa "tertipu" kerana rupa-rupanya majlis itu tidak lebih sekadar post-mortem kepada parti yang sedang dilanda penyakit tua iaitu UMNO. Ketika merasmikan seminar itu Pemangku Yang Dipertua Mubarak Kedah memberitahu bahawa sejak berakhirnya pilihanraya umum ke-12,kedudukan orang Melayu mula tergugat dan kuasa politik Melayu sudah mula terhakis. Oleh itu,seminar ini diadakan untuk mencari jalan keluar kepada masalah orang Melayu,ekonomi Melayu dan politik Melayu. Beliau juga memberitahu jangan menjadi pengkhianat dan petualang bangsa sendiri. Bagi saya seminar itu bersifat perkauman (racist). Apatah lagi ketika sesi soal jawab ada beberapa individu yang menanyakan soalan dan memberi pendapat sambil mengeluarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis tentang masalah orang Melayu.Saya tidak ingat siapa individu-individu itu namun pada jangkaaan saya mereka itu mungkin orang kuat UMNO. Saya masih ingat ada orang itu bertanya kenapa PAS sanggup bersama dengan DAP yang anti Islam dan menolak kerjasama dengan UMNO yang seagama dengan PAS. Mereka berkata sekiranya parti luar dari BN menjadi kerajaan pusat akan hilang hak keistimewaan orang-orang Melayu.,DEB akan dihapuskan dan macam-macam lagi. Saya agak terkejut apabila orang yang ingin bertanya kepada pembentang-pembentang kertas kerja sempat "menyerang" beberapa pemimpin PR. Walaupun dia tidak menyebut nama pemimpin itu tetapi dari cara dia bercakap sudah tahu ditujukan kepada siapa. Bagi saya cara penyelesaian bagi masalah orang Melayu ialah Islam. Kita mesti meletakan kepentingan agama mengatasi kepentingan bangsa. Sepatutnya orang-orang Melayu berbangga dengan Islam bukannya bangga dengan Melayu. Saya sangat bersetuju dengan cadangan daripada Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila UMNO ajak bergabung dengan PAS atas nama kepentingan Melayu dan Islam beliau mencadang supaya bubar PAS dan bubar UMNO kemudian tubuh parti baru atas nama Islam. Cadangan begitu dikira mustahil bagi UMNO untuk membubarkan parti nasionalis itu. Saya kira ahli-ahli PAS juga tidak setuju kalau PAS dibubarkan. Setelah hilang majoriti dua pertiga kerusi parlimen dan terlepas lima buah negeri(BN dapat kembali Perak mengikut pintu belakang) termasuk Wilayah Persekutuan, UMNO kehilangan sokongan rakyat terutamanya orang bukan Melayu. Lalu,mereka memintal propaganda bahawa kuasa politik Melayu sudah terhakis dan kuasa politik bukan Melayu akan bermaharajalela. Mereka mula memainkan isu ketuanan Melayu,DEB dan pelbagai lagi. Saya hairan dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan bangsa berbanding dengan agama. mengapa ada dalam kalangan kita begitu taksub dengan bangsa Melayu?apakah bangsa Melayu dijamin oleh Allah S.W.T akan masuk syurga terlebih dahulu dan tidak akan dihisab di Padang Masyar nanti?.Allah mengutuskan Nabi Muhammad S.A.W sebagai utusan Allah bukan untuk memuliakan bangsa Arab tetapi untuk mengajak manusia mentauhidkan Yang Maha Esa. Walaupun Nabi Muhammad S.A.W berasal dari bangsa Arab dan keturunan baginda dipandang mulia tetapi itu tidak menjamin apa-apa kerana hanya baginda sahaja yang maksum. Dulu PAS pernah mengajak UMNO bermuzakarah tetapi UMNO yang dirasakan kuat suatu ketika dahulu tidak menampakan harapan positif terhadap permintaan bermuzakarah itu. Jika UMNO ikhlas nak tolong sesama Melayu,mereka tidak lagi boleh diskriminasi terhadap kerajaan yang dipimin oleh parti bukan dari BN seperti Kelantan. Majoriti rakyat Kelantan adalah orang Melayu,ada Sultan Melayu dan Menteri Besarnya juga adalah orang Melayu. Kalau kerajaan pusat yang diterajui oleh UMNO meminggirkan negeri yang diperintah oleh PR bermakna mereka juga mendiskriminasikan hak Melayu itu sendiri. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat apakah UMNO sedia untuk berubah.